Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Allah s.w.t


 JANGAN DIAJUKAN HAJATMU KEPADA SELAIN ALLAH S.W.T. ALLAH S.W.T YANG MENDATANGKAN HAJAT ITU KEPADA KAMU. SIAPAKAH YANG SELAIN ALLAH S.W.T DAPAT MENGANGKAT SESUATU YANG DILETAKKAN OLEH ALLAH S.W.T? BARANGSIAPA YANG TIDAK MAMPU MELAKSANAKAN HAJAT DIRINYA SENDIRI, BAGAIMANA PULA DIA SANGGUP MELAKSANAKAN HAJAT ORANG LAIN.


Dalam membentuk keperibadian tauhid, kita perlu melihat sesuatu dari asal mulanya hinggalah kepada penghabisan sampainya. Orang yang masih dalam proses membentuk keperibadian tauhid, diibaratkan jambatan tempat lalu-lintas yang datang dan yang pergi. Apa yang datang menceritakan asalnya dan yang pergi menceritakan tujuannya. Jambatan itu ialah hati dan yang datang itu bermacam-macam, antaranya adalah niat, harapan, angan-angan, cita-cita, hajat dan keinginan. Semuanya datang dari arah yang sama, semuanya bukan jenis benda yang berupa, tetapi adalah jenis tenaga atau kuasa ghaib. Walaupun ghaib, masing-masing itu mempunyai keupayaan dan kekuatan untuk memberi kesan kepada hati. Kesan yang berbeza-beza menyebabkan satu keupayaan dan kekuatan dapat dibezakan dengan keupayaan dan kekuatan yang lain. Boleh dikenal keupayaan dan kekuatan marah, benci, suka, niat, harapan, hajat dan lain-lain. Sumber datangnya segala-galanya ialah makam Lahut (zat Ilahiat), turun kepada makam Jabarut (sifat). Pada makam Jabarut muncullah Iradat dan Kudrat. Iradat dan Kudrat Allah s.w.t menjadi sumber kepada semua keupayaan dan kekuatan. Pancaran Iradat dan Kudrat diterima oleh Alam Malakut sebagai perintah Allah s.w.t. Iradat dan Kudrat yang diterima oleh para malaikat dinamakan Haula dan Kuwwata Allah s.w.t, lalu malaikat-malaikat yang menyambutnya mengucapkan:


Tidak ada keupayaan dan kekuatan melainkan (Iradat dan Kudrat) Allah s.w.t.


 Manusia dan jin yang mendiami alam dunia inilah yang dihadapkan dengan kebaikan dan kejahatan. Makhluk lain dalam dunia tidak memikul kebaikan dan kejahatan. Harimau yang memakan rusa tidak dikira melakukan kejahatan. Angin yang menerbangkan rumah orang tidak dikira sebagai melakukan kezaliman. Hanya manusia dan jin yang dipertanggungjawabkan memikul kebaikan dan kejahatan. Jin jenis jahat dinamakan syaitan. Syaitan sangat gemarkan apa sahaja yang jahat. Syaitan menanti dibawah bumbung langit dunia dan mengiringi keburukan yang turun dengan penuh sukaria hingga sampailah kepada hati manusia. Perkara yang baik diiringi oleh malaikat hingga selamat sampai kepada hati manusia. Walaupun begitu syaitan masih juga mencuba mengganggu perkara baik itu agar bertukar menjadi buruk, tetapi dihalang oleh malaikat.

 Setiap perkara yang diterima oleh hati, dibawa oleh malaikat dan syaitan, diberi berbagai-bagai nama mengikut kesannya kepada hati. Ada yang dipanggil niat, ada yang dipanggil keinginan dan ada yang dipanggil hajat serta banyak lagi nama yang digunakan untuk membezakan yang satu dengan yang lain. Setiap yang dibawa oleh malaikat adalah baik, maka lahirlah niat baik, kehendak yang baik dan hajat yang baik. Setiap yang dibawa oleh syaitan adalah buruk,maka lahirlah niat buruk, keinginan jahat dan hajat yang jahat. Biar apa pun istilah yang digunakan, yang pasti ia mempunyai keupayaan untuk menarik hati agar cenderung ke arah atau kepada sesuatu dan ada kekuatan yang memaksa hati untuk mengadakan tindakan mengarah kepada yang dicenderungi itu. Keupayaan dan kekuatannya bukan sahaja terhenti setakat hati dan anggota-anggota di bawah kawalannya sahaja, malah ia mampu bergerak melalui ruang dan zaman.

 Keupayaan dan kekuatannya mampu mempengaruhi orang lain supaya bergerak ke arah yang sama. Misalnya, seorang pemimpin yang berwawasan mampu mempengaruhi orang ramai supaya bergerak ke arah wawasannya. Ketua penjahat juga mampu menekankan rencana jahatnya kepada anak buahnya. Wawasan dan rencana itu boleh diteruskan oleh orang lain dan boleh juga melintasi zaman lain walaupun orang yang memulakannya sudah meninggal dunia. Sebab itulah sesuatu amal yang dipelopori oleh seseorang kemudian menjadi ikutan orang lain maka si pelopor itu tetap bertanggungjawab ke atas perbuatan orang yang mengikutnya, kerana pada hakikatnya keupayaan dan kekuatan yang diterimanya itulah yang disebarkannya kepada orang lain.
 Makhluk yang pertama menerima keupayaan dan kekuatan jahat ialah iblis laknatullah dan daripadanya keupayaan dan kekuatan jahat itu tersebar. Sesiapa yang melakukan kejahatan dia berbuat demikian dengan tenaga iblis laknatullah. Makhluk yang pertama menerima keupayaan dan kekuatan baik ialah Nabi Muhammad s.a.w. Walaupun Nabi Adam a.s diciptakan terlebih dahulu daripada Nabi Muhammad s.a.w tetapi roh Nabi Muhammad s.a.w diciptakan terlebih dahulu dan roh Nabi Muhammad s.a.w itulah bekas yang pertama menerima tenaga baik. Sesiapa sahaja yang melakukan kebaikan maka dia berbuat demikian dengan menggunakan tenaga yang dibekalkan oleh Roh Muhammad s.a.w. Kejahatan tidak berpisah dengan iblis laknatullah. Kebaikan tidak berpisah dengan Muhammad s.a.w.



Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam (semua makhluk pada semua zaman) ( Ayat 107 : Surah al-Anbiyaa’ )


Tidak ada satu pun makhluk yang memperolehi atau melakukan kebaikan melainkan ia bernaung di bawah rahmat yang Allah s.w.t telah tentukan kepada Nabi Muhammad s.a.w, walaupun kebaikan itu berlaku sebelum baginda s.a.w lahir ataupun sesudah baginda s.a.w wafat. Begitulah pandangan kita jika memandang kepada sempadan alam. Sekiranya pandangan kita tidak berubah dari asal mula sesuatu tentu Iradat dan Kudrat Allah s.w.t tidak terlindung daripada kita. Kita akan melihat bahawa Iradat dan Kudrat Allah s.w.t sahaja yang menimbulkan keupayaan dan kekuatan yang singgah kepada hati lalu dinamakan niat, kemahuan atau hajat. Iradat dan Kudrat Allah s.w.t yang sama juga memperjalankan niat, kemahuan dan hajat melalui ruang dan waktu. Semuanya adalah Iradat dan Kudrat Allah s.w.t.



Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun),  kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah. ( Ayat 29 : Surah at Takwiir )





“Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu!” ( Ayat 96 : Surah as-Saaffaat )


Rasulullah s.a.w bersabda:



Sesiapa dibimbing oleh Allah s.w.t kepada jalan yang benar engkau tidak dapat menyesatkannya dan sesiapa yang dibimbing oleh Allah s.w.t kepada kesesatan engkau tidak dapat meluruskannya.
Kita sering ucapkan:



Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Allah s.w.t.


 Pandangan tauhid memperlihatkan kepada kita bahawa pada apa jua keadaan Iradat dan Kudrat Allah s.w.t tidak luput daripada kita walaupun dalam niat, harapan atau hajat. Apabila mata hati memandang dari asal mula hingga ke akhir tujuan tetap pada Allah s.w.t maka hati pun akan bersandar kepada Allah s.w.t sahaja, tidak lagi bergantung kepada sesama makhluk dan tidak juga kepada dirinya sendiri. Dirinya dan orang lain sama-sama dipikulkan beban. Orang yang memikul beban tidak mampu mengangkat bebannya sendiri, jauh sekali untuk mengangkat beban orang lain. Siapakah dari kalangan makhluk Allah s.w.t yang dapat mengubah apa yang Allah s.w.t telah tetapkan dengan Iradat-Nya dan laksanakan dengan Kudrat-Nya? Tidak ada yang boleh berbuat demikian melainkan Allah s.w.t.

Perintah berbentuk kebaikan yang dibawa oleh malaikat mudah kita mengerti dan terima sebagai Iradat dan Kudrat Allah s.w.t. Bagaimana pula ‘perintah’ keburukan yang dibawa oleh syaitan? Adakah kita perlu melakukan keburukan tersebut? Adakah Allah s.w.t memerintahkan kita berbuat jahat? Persoalan ini membuat kita keliru. Kita harus meneliti perkara ini dengan mendalam supaya tidak terjadi salah iktikad. Ibaratkan syaitan sebagai anjing dan Tuhan adalah Tuan yang memerintahnya. Anjing tidak akan menyalak dan menggigit jika tidak diizinkan atau diperintah oleh Tuannya. Andainya Tuan mengizinkan anjing menyalak dan menggigit kita kemungkinannya adalah kerana: 
1:  Tuan murka kepada kita.
2:  Kita mencabar hak Tuan.
3:  Pada diri kita ada sesuatu yang digemari oleh anjing.

Apabila kita berhadapan dengan situasi seperti di atas kita mempunyai dua pilihan iaitu:
1: Kita membiarkan diri kita digigit oleh anjing. Jika yang menggigit itu adalah anjing gila maka kita juga akan terkena penyakit anjing gila.
2:  Kita lari kepada Tuannya dan merayu agar menghalau anjing itu daripada kita.

 Ketika menerima kedatangan ‘perintah’ supaya berbuat jahat kita mesti menerimanya dengan bijaksana agar kita tidak salah mentafsirkannya. Allah s.w.t selalu mengingatkan kita bahawa syaitan adalah musuh kepada manusia, dan layanlah syaitan itu sebagai musuh. Kita diajarkan supaya berlindung kepada Allah s.w.t dari syaitan yang kena rejam. Jika Allah Yang Maha Mulia menyuruh utusan yang sangat keji yang menjadi musuh kita, membawa  benda busuk kepada kita apakah yang dapat kita katakan tentang nilai diri kita pada pandangan Allah s.w.t? Nilai diri kita adalah sama dengan benda busuk yang dibawa oleh musuh kita itu, iaitu kita ini adalah umpama tong sampah yang layak untuk diisikan dengan sampah sarap. Sekiranya kita menginsafi perkara tersebut, sebaik sahaja utusan yang keji itu dan benda yang busuk itu sampai kepada kita, tentu sekali kita akan jatuh pengsan kerana takut dan khuatir terhadap kehinaan diri kita dan kemurkaan Allah s.w.t kepada kita. Apabila sedar kita seharusnya menginsafi akan kejahatan dan kehinaan diri kita yang menyebabkan utusan yang jahat dan dilaknat membawa benda kotor dan busuk kepada kita. Kita seharusnya menyucikan diri kita agar kekotoran hilang. Kita sepatutnya memperbanyakkan taubat, memohon keampunan dan belas kasihan daripada Allah s.w.t. Kita sepatutnya memperbaiki diri kita, bukan membaham benda busuk yang dibawa oleh utusan yang keji itu. Oleh sebab yang datang itu dengan keizinan Allah s.w.t ia membawa kekuatan yang tidak terdaya kita menentangnya dengan kekuatan diri kita sendiri. Sebab itulah kita diajarkan supaya mengadu kepada Allah s.w.t dan meminta perlindungan-Nya. Sekiranya kita menentangnya dengan kekuatan diri kita sendiri, kita akan tewas, tetapi jika kita berlindung di bawah payung kekuatan Allah s.w.t kita akan menang. Jadi, dalam menghadapi perintah baik dan ‘perintah’ jahat kita mesti lari kepada Allah s.w.t kerana segala sesuatu datangnya dari Allah s.w.t dan hanya Dia yang mampu menangani segala sesuatu itu.

Penting bagi orang yang melatih kerohaniannya memerhatikan gerak hatinya kerana ia adalah utusan yang membawa perkhabaran dan pemberi petunjuk. Jika kita selalu dikunjungi oleh utusan yang membawa kejahatan itu tandanya kita berada jauh dari Allah s.w.t, Tuan Yang Maha Mulia. Perutusan yang sampai itu merupakan teguran agar kita membetulkan jalan. Jalan yang sesuai untuk kita pilih dan lari ke dalamnya ialah bertaubat, beristighfar, mengingati balasan terhadap dosa, mengingati mati dan takut dengan sebenar-benar takut kepada Allah s.w.t yang berbuat sekehendak-Nya tanpa boleh dihalang oleh sesiapa pun. Jika perutusan yang datang membawa kebaikan maka jalan yang patut ditempuh ialah memperbanyakkan syukur, puji-pujian terhadap-Nya, mensucikan-Nya, serta memperteguhkan tawakal dan reda dengan takdir-Nya. Gerak hati atau lintasan hati adalah Kalam Allah s.w.t yang membawa perintah, teguran, nasihat dan tanda-tanda. Semuanya menjadi ujian kepada hati itu sendiri.

0 comments:

Teman seperjuangan..