Saya, Tudung Terkini Dan Mekap

Saya memang sedari remaja tak biasa bersolek. Mungkin kerana dari kecil saya tak pernah lihat ibu saya bersolek, beliau hanya berbedak dan bergincu nipis apabila keluar rumah, jadi bab-bab bersolek ni agak asing bagi saya. Tapi itu bukan bermakna saya tidak berhias langsung bila keluar rumah. Malah saya wajib bercermin berpuluh kali untuk memastikan penampilan saya rapi dan menarik sebelum melangkah kaki keluar rumah. Semakin saya meniti umur, semakin galak pula saya mencuba pelbagai fesyen tudung di samping berjinak-jinak dengan alat-alat solek. Saya juga mula berani memakai bau-bauan apabila keluar rumah.
Saya tidak pernah merasakan berhias dan berdandan di luar rumah itu satu kesalahan, kerana pada pengamatan saya, perbuatan saya itu masih dalam kadar “sederhana”. Sekurang-kurangnya saya tidak mencantas atau membentuk bulu kening, atau memakai bulu mata palsu bersama maskara yang tebal, atau mengoles gincu merah berkilat di bibir. Saya tidak menghabiskan berjam-jam di depan cermin untuk bersolek. Itulah perkiraan saya.
Begitulah saya selama bertahun-tahun. Saya semakin tenggelam ingin kelihatan cantik dan awet muda. Puji-pujian yang saya terima semakin menghanyutkan saya. Apabila naluri bersalah mula membayang di sudut hati saya, saya akan segera mengambil pendekatan “bending the rules” untuk menyedapkan hati. Ha! Pernah dengar bisikan-bisikan hati yang sedang berpenyakit itu? “Alah, kalau tak pakai bedak dengan lipstik, nanti nampak pucat tak bermaya“, atau “Kalau tak mekap langsung, nanti nampak kusam dan comot. Nanti orang akan mengata, imej Islam beginikah? Tak kemas langsung. Tak menarik langsung. Wanita Islam tak tahu jaga penampilan diri! Kolot dan ketinggalan zaman!” atau “Bukannya saya buka tudung pun! (padahal tudung dah pendek dan jarang, apalah bezanya?)” atau “Mekap saya ni masih ala kadar lagi, bukannya tebal sangat pun, setakat lipstik, maskara dengan bedak aje.”
Lama kelamaan tanpa saya sedari perasaan bersalah yang saya sedang mengumpul dosa bertabarruj semakin terhakis. Betapa liciknya Syaitan memperdayakan saya dengan mewujudkan “grey area” yang saya sangka masih putih suci. Suami sudah pasti amat terkilan dan jauh hati kerana tegurannya tidak saya endahkan. Hingga beliau tidak larat lagi menegur lantas membiarkan sahaja, mungkin mengharapkan saya akan sedar sendiri satu hari nanti.
Hinggalah apabila hati saya dibukakan untuk berhijrah, dan satu hari ketika saya sedang bersiap untuk ke tempat kerja,  terdetik di sudut hati saya: untuk apalah saya bersungguh-sungguh berhias dan berdandan di luar sedangkan saya sudah punya suami di rumah. Apakah saya akan mendapat kebaikan jika ada insan yang kagum dengan penampilan saya? Jika benar saya sayangkan suami saya yang begitu sabar, setia dan tidak pernah menyakiti saya mahupun mengabaikan kebajikan saya, mengapa saya tidak khususkan segala yang terbaik yang ada pada saya untuknya sahaja?
Dari situ saya nampak betapa janggalnya perbuatan saya yang tidak menjaga aurat dengan sempurna, berdandan dan berhias serta berwangi-wangian ketika keluar rumah, termasuk juga memasukkan gambar-gambar saya yang kononnya menarik ke dalam blog dan Facebook, yang mana boleh ditonton oleh lelaki ajnabi yang tidak layak. Alangkah jahilnya saya berbangga dengan perbuatan sia-sia yang mendatangkan fitnah terhadap diri saya itu.
Sedangkan penampilan saya dalam keadaan berdandan itu merupakan hak eksklusif suami saya, insan yang menurut Rasulullah SAW “Sekiranya boleh aku suruh manusia menyembah manusia, nescaya akan kusuruh isteri sujud pada suaminya.” (At-Tirmidhi)
Betapalah Allah, Rasulullah dan para malaikat mengutuk perbuatan itu, dan saya kira tiada satu alasan pun yang mungkin mampu menjustifikasikannya. Betapa berdosanya saya,  sudahlah saya sedar suami tidak redha dengan saya sedangkan redha Allah bergantung kepada redha suami, ditambah lagi dengan dosa-dosa lain yang entah terampun entah tidak. Patutlah hidup saya terasa tidak aman; saya mudah menjadi murung, apa yang saya buat semua tidak mendatangkan bahagia dan kepuasan dalam hati saya dan saya asyik berkeluh-kesah. Alangkah malangnya sekiranya nyawa saya dicabut ketika itu. Alangkah ruginya jika saya kembali menemuiNya dalam serba kedaifan begitu.

Alhamdulillah, saya amat bersyukur bila saya terfikir yang Allah masih sayangkan saya. Maha suci Allah, dibukakanNya hijab di mata hati saya hingga usai keegoan saya dan saya melihat kesilapan saya. Bertabarruj ketika keluar rumah termasuk memasukkan gambar-gambar ke laman web dalam keadaan bertabarruj itu haram.
Saya menulis dengan harapan dapat berkongsi keinsafan dengan para isteri dan bakal-bakal isteri, bahawa bertabarruj (berhias dan berwangian) ketika keluar rumah merupakan satu perbuatan yang dilaknat Allah, Rasulullah dan para malaikat. Jika ikut hukum alam pun nampak benar tidak kena, untuk apa kita mahu berhabisan semata-mata mahu kelihatan cantik di mata orang lain, nauzubillah para lelaki ajnabi, sedangkan kita sudah ada insan yang paling layak menikmati kecantikan itu. Tidak cukupkah kita bersolek dan memakai pakaian yang menampakkan keanggunan itu hanya untuk suami? Kita tidak rela berkongsi suami, tetapi kita tidak sedar yang suami kita terpaksa “berkongsi” isterinya dengan orang lain.
Saya sering terfikir, apalah guna kita membaja keegoan di dunia ini, berlumba-lumba mahu kelihatan paling cantik, paling anggun, paling awet muda sehingga kita tergamak mengabaikan syariat, menafikan yang terang-terang haram, kalau akhirnya di akhirat kelak kita akan terhimpun dalam golongan yang rugi? Teringat saya kata-kata Dato’ Dr Fadzillah Kamsah dalam rancangan Selami Jiwa di Astro Oasis, “Sehebat mana pun kita di dunia, tak berbaloi jika di akhirat masuk neraka.” Betapa bodohnya diri kita yang kita sangka cerdik pandai ini jika begitu mudah kita ditipu oleh kehidupan dunia. Alangkah ruginya kalau kita taksub kepada kehidupan di dunia yang paling lama pun 70-75 tahun dan mengabaikan kehidupan akhirat yang kekal.
Saya rasa memadailah kita berpenampilan sederhana, kemas dan bersih apabila keluar rumah. Di kalangan teman sepejabat saya kebanyakannya tidak bersolek dan tidak berfesyen, tetapi wajah mereka sejuk mata memandang kerana mereka murah senyuman dan akhlak mereka indah. Tambahan pula, dari pengalaman saya, lebih selesa sebenarnya jika tidak bersolek tebal dan mengenakan tudung berfesyen yang rumit dengan segala macam pin apabila keluar rumah kerana lebih mudah untuk urusan berwudhuk dan solat. Saya tidak perlu mengambil masa lama untuk mencuci solekan, dan kemudian perlu pula mengenakan semula solekan dan memakai tudung rumit berlilit-lilit setelah solat. Kadangkala urusan mengenakan mekap dan memakai semula tudung itu lebih lama dari solat. Kan leceh namanya, lagi tak kena. Janggal. Dan perlu kita tanya semula diri kita, “Untuk apa? Untuk siapa?”
Kecantikan wanita itu terletak pada akhlaknya, dan solekan yang paling baik pada pengamatan saya ialah senyuman ikhlas yang terbit dari hati yang bersih (wanita munaqabah kena berusaha lebih tambahkan ikhlas dalam senyuman supaya senyuman mereka sampai ke mata :-) ).  Kelebihan lain yang Allah kurniakan pada kita sebagai wanita – wajah yang menawan, senyuman menggoda, lengguk-liuk, posing lentok, suara manja – wajib dikhususkan untuk suami sahaja. :-) Kalau benar kita sayangkan suami, jom kita berusaha menjadi perhiasan dunia baginya, sebab sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita solehah, dan wanita solehah itu bersungguh-sungguh menjaga dirinya dan maruah suaminya. Mudah-mudahan Allah merahmati kita dan memuliakan kita di akhirat kelak.
Saya harap tulisan saya ini tidak menyinggung sesiapa. Segala yang baik datang dari Allah SWT, yang buruk dari kelemahan saya sendiri. Allahu’alam.

Ini bukan hijab!

2 comments:

Dr Daie said...

^_^ jazakillah atas artikel yang bermanfaat. sama2 kita mengaplikasikannya dalam hidup

Cinta Sufi said...

kak laila, saya suka artikel ni, saya pun sedih bila gambar saya di masukkan dalam fb :( nak jadi baik mcam akk dalam cerita ni, inshaAllah, perlahan-lahan ;D

Teman seperjuangan..