Ukhuwwah fillah abadan abada....?

Itu merupakan ucapan yang tidak asing lagi didengari di kalangan orang-orang muda yang ada semangat Islam. Itu bagus.
Tapi apa yang menjadi persoalan ialah, apabila ucapan itu kini dijadikan medium untuk merapatkan ukhuwwah antara lelaki dan wanita. Maknanya, ucapan itu dijadikan sebagai alasan bahawa lelaki dan wanita ini perlulah menjaga ukhuwwahnya kerana kita semua saudara seagama.
Sengaja saya menulis sebab saya rasa ada satu kesalahan dalam memahami konsep ini.
Benar, memang lelaki dan wanita Islam itu perlulah menjaga ukhuwwah kerana mereka saudara seagama.
Tetapi, jangan pula disamakan ukhuwwah lelaki dan lelaki (atau perempuan dan perempuan) dengan ukhuwwah lelaki-wanita. Inilah satu kesilapan besar yang dilakukan oleh ramai pemuda dan pemudi Islam masa ini.
Dulu saya pun pernah tertipu dalam menerima konsep ini, akhirnya kini - alhamdulillah- saya sudah nampak betapa bahayanya perbuatan merapatkan hubungan lelaki-perempuan dengan berlapikkan alasan ukhuwwah fillah (ukhuwwah kerana Allah).
Hukum Pergaulan (ikhtilat) Lelaki dan Perempuan
Mungkin baik untuk kita membincangkan sedikit aspek fiqh bagi mendapatkan gambaran sebenar tentang pergaulan lelaki-perempuan secara Islami, sebelum kita berbincang lanjut mengenai salah faham yang dimaksudkan di awal perbincangan tadi.
Dalam ilmu usul fiqh, pernyataan ini telah wujud: "asal semua perkara adalah harus selagi tidak ada dalil yang mengubah hukum hal tersebut". Ini kerana Allah s.w.t telah berfirman:
"Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segalanya yang ada di atas bumi.." Al-Baqarah: 30
Namun, keumuman hukum halal atas semua benda ini akan berubah jika ada dalil lain yang mengubah hukumnya. Sebagai contoh, untuk memudahkan pemahaman: pada asalnya, hal A, B, C dan D semuanya dihukumkan harus (halal). Kemudian, turunlah suatu dalil spesifik untuk mengubah hukum B sahaja kepada haram. Jadi kita akan dapati A, C dan D masih halal tetapi hukum B telah berubah. Jadi, A, C, D masih tidak haram berdasarkan kaedah "asal semua benda adalah harus selagi tidak ada dalil yang mengharamkannya".
Dalam konteks perbincangan hari ini, pergaulan lelaki dan perempuan telah termasuk ke dalam jenis hal B dalam situasi di atas, di mana kita dapati disebabkan satu dalil, hukum asal ‘harus’ dalam pergaulan lelaki-wanita telah berubah:
Dan janganlah kamu menghampiri zina,  sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat." Al-Isra: 32 
Lafaz menghampiri di atas menjadi antara hujah ke atas kaedah sadoz zaroi’e  (menutup jalan-jalan kemudaratan) dalam ilmu fiqh. Ayat di atas menunjukkan perintah pengharaman bukannya pemakruhan. Oleh itu, kita dapat lihat bahawa zina merupakan satu kesalahan yang berat sehingga menghampirinya pun dilarang Allah. Istilah "menghampiri zina" itu juga sangat luas maknanya, dalam erti kata lain, boleh jadi lelaki dan perempuan pun sepatutnya tidak boleh berhubung langsung kerana perhubungan lelaki dan wanita memang boleh membawa kepada zina.
Jadi, ikhtilat pun termasuk dalam perkara yang membawa kepada zina, sebab, bukankah dengan campur-gaul lelaki dan wanita boleh mengundang mereka kepada perhubungan yang lebih intim dan seterusnya berzina? Ini masuk akal bukan??
Tapi tunggu dulu. Jangan panik. Islam bukanlah agama yang sebegitu rigid. Islam mengambil jalan tengah dalam banyak hal, dan dalam hal ini Islam tidak menghalalkan secara total perhubungan lelaki-perempuan mahupun mengharamkannya secara total. Masih ada banyak dalil-dalil lain dan hadith-hadith yang perlu diperhatikan sebelum mendapatkan penjelasan hukum yang paling tepat mengenai situasi dan kaedah perhubungan lelaki dan perempuan menurut Islam.
Contohnya, jika perhubungan lelaki dan perempuan langsung tidak dibolehkan, mengapa ada hadith-hadith yang menunjukkan bolehnya lelaki dan perempuan saling memberi salam selagi tiada fitnah atau syahwat? (Rujuk hadith no. 1045 hingga no. 1048 dalam kitab Adabul Mufrad, oleh Imam Al-Bukhari)
Sebagai kesimpulan bagi sub-topik ini, kita dapati ikhtilat:
  • Tidak sesuai dihukumkan halal secara total kerana terdapat larangan menghampiri zina dalam ayat 32 surah Al-Isra’ di atas, kerana ikhtilat itu berpotensi membawa kepada zina.
  • Tidak juga sesuai dihukumkan haram secara total kerana adanya hadith-hadith sahih yang menunjukkan adanya penglibatan antara lelaki dan wanita dalam hal-hal tertentu.
Jadi satu pendapat yang pernah saya dengar dalam satu majlis ilmu yang bagus ialah dengan menyebut asal hukum ikhtilat sebagai "tidak boleh", dalam erti kata lain boleh difahami sebagai: "tidak boleh dilakukan selagi ada sebab yang mengharuskannya". Baik, apakah sebab-sebab itu? Kita akan bincangkan di bawah. Teruskan membaca.
Pergaulan lelaki perempuan: Kerana suka-suka atau bersebab?
Di sini merupakan satu persoalan yang paling penting dalam membahaskan isu ‘ukhuwwah lelaki-perempuan’ ini. Sepertimana yang telah kita sedia maklum tadi, ukhuwwah lelaki-perempuan itu tidak salah, cuma yang menjadi salah faham ialah bagaimana ukhuwwah tersebut dimanifestasikan.
Apakah contoh manifestasi ukhuwwah? Itulah yang dinamakan perhubungan, komunikasiatau pergaulan antara lelaki-perempuan. Daripada sinilah bangkitnya persoalan-persoalan penting yang menjadi titik penentu antara harusnya atau cegahan terhadap ukhuwwah lelaki-perempuan tersebut. Satu persoalan penting ialah:
"Adakah pergaulan yang terbentuk itu kerana suka-suka atau kerana satu tujuan yang baik?"
Apa yang saya maksudkan dengan ’suka-suka’ ialah tabiat ingin melakukan sesuatu kerana mengharapkan keseronokan atau hiburan semata-mata. Dalam konteks perbincangan ini, apabila seorang lelaki itu dikatakan ’suka-suka’ sahaja untuk berkomunikasi dengan wanita, ini bermakna dia berkomunikasi dengan wanita tersebut hanya untuk bergurau senda, berbual-bual kosong, atau lain-lain yang tidak penting.
Dan apa yang saya maksudkan dengan tujuan yang baik ialah apabila seorang lelaki itu berinteraksi dengan wanita atas sebab-sebab yang memberi manfaat di mana tanpa berlakunya komunikasi tersebut, urusan sesuatu perkara akan jadi susah. Di sini penglibatan lelaki-wanita untuk berbincang dan sama-sama bekerja (dengan akhlak Islami yang sejati) adalah sangat mustahak dan dituntut dalam Islam.
Sikap ukhuwwah lelaki-perempuan kerana suka-suka sudah tentu perbuatan yang sia-sia dan merosakkan akhlak muslim, sedangkan sikap ukhuwwah kerana tujuan yang baik adalah sesuatu yang didukung oleh syariat Islam.
Akhlak Rasulullah s.a.w dan Para Sahabat r.a Terhadap Pergaulan Lelaki-Wanita, Serta Isu-Isu Penting Mengenainya
Dalam bukunya Fatwa Mua’sirah (Fatwa Masa Kini), Dr Yusuf Qardhawi, tokoh a’lim fiqh yang mahsyur masa kini ada menyebut mengenai hadith-hadith (beserta takhrijnya) dan hal-hal berikut:
  • Daripada Ummu A’tiyyah: "Saya telah menyertai Rasulullah dalam tujuh siri peperangan. Ketika angkatan bergerak, saya berada di barisan belakang. Tugas saya ialah menyediakan makanan, merawat mereka yang cedera serta menjaga mereka yang sakit" (Riwayat Muslim)
  • Pernah suatu ketika lelaki dan wanita berasak-asak dalam mengajukan soalan kepada Rasulullah. Lalu mereka (wanita) meminta kepada Rasulullah supaya mengkhususkan satu hari untuk mereka tanpa disertai kaum lelaki. Permintaan tersebut telah diterima oleh baginda di mana baginda sendiri kemudiannya mengkhususkan satu hari untuk kaum wanita mempelajari agama, mendengar peringatan dan sebagainya. (Riwayat Bukhari)
  • Istilah ikhtilat (percampuran atau pergaulan) merupakan satu perkataan yang diimport masuk ke dalam kamus Islam. Ikhtilat tidak sesuai digunakan kerana ia langsung tidak pernah dikenalpasti kewujudannya dalam sejarah kegemilangan Islam melainkan hanya wujud di zaman moden ini sahaja. Istilah yang lebih sesuai berbanding ikhtilat mungkin ialah liqa (pertemuan) ataupun musyarakah (penyertaan).
Demikianlah saya memetik secara ringkas apa yang dinyatakan dalam kitab Fatawa Mua’sarah. Dr. Yusuf Qardhawi sendiri ada menyebut tentang ketidaksuaian penggunaan lafaz "percampuran" dalam menggambarkan interaksi lelaki-perempuan dalam Islam. Apatah lagi jika percampuran tersebut adalah atas hal-hal yang sia-sia?
Mungkin lebih baik jika kita berinteraksi lelaki-wanita berdasarkan konsep penyertaan atau pertemuan seperti dinyatakan di atas. Ini kerana apabila kita sebut perkataan ‘penyertaan’ atau ‘pertemuan’ pun, kita dapat merasakan kewujudan satu batasan sosial dalam perhubungan lelaki-wanita tersebut, berbanding dengan lafaz "percampuran". Inilah apa yang disarankan dalam syariat Islam bagi memenuhi tuntutan larangan menghampiri zina tadi. Jadi, selagi mana perhubungan tersebut berlaku menurut adab-adab dalam syariat Islam dan mempunyai matlamat yang murni, maka ia tidak dianggap sebagai menghampiri zina, jadi ia bukanlah satu larangan.
Antara Syarat-Syarat Berhubung Lelaki-Wanita Yang Diambil Mudah Oleh Pemuda-Pemudi Islam
Sekali lagi kita rujuk kitab Fatwa Mu’asarah untuk mengetahui syarat-syarat dalam interaksi lelaki-wanita. Terdapat 6 syarat semuanya, tetapi saya hanya memetik tiga sahaja daripadanya kerana saya rasa inilah syarat-syarat yang sering tidak dipatuhi dalam interaksi antara sesetengah pemuda-pemudi Islam:
  1. "Kedua-dua belah pihak hendaklah memelihara pandangan; jangan melihat pada aurat, jangan melihat dengan penuh nafsu, atau memandang dengan pandangan yang lama tanpa keperluan. Allah berfirman dalam Al-Quran: "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka (daripada yang diharamkan) dan memelihara kehormatan mereka" Surah An-Nur: 30-31
  2. Memelihara adab dalam berurusan antara lelaki-wanita, terutamanya kepada wanita: jauhi nada menggoda ketika bercakap (rujuk surah Al-Ahzab:32), berjalan dengan penuh sopan dan tertib (rujuk An-Nur:31 dan Al-Qasas:25), dan mestilah mengelakkan gerakan manja/seksi/menggoncang-goncangkan badan.
  3. Pertemuan hendaklah pada perkara yang benar-benar perlu sahaja ataupun pada urusan yang memang menuntut kedua-duanya hadir bersama tanpa berlebih-lebih dan melampau.
Inilah 3 syarat yang dimaksudkan. Kita dapat lihat syarat-syarat ini banyak tidak dipatuhi oleh pemuda-pemudi Islam di peringkat sekolah menengah, universiti mahupun yang bekerja. Kita melihat betapa ramainya pemuda-pemudi Islam bebas berkomunikasi dan bercampur-gaul kerana suka-suka dan untuk bergurau-senda, sedangkan mereka itu bukan mahram sesamanya. Perkara ini memang jelas menyalahi etika perhubungan lelaki-wanita dalam Islam. Semoga Allah menjauhkan diri kita daripadanya.
Satu Kesimpulan dan Renungan
Jelaslah kita kini tentang masalah pergaulan yang melanda umat Islam khususnya pemuda-pemudi Islam. Apa yang begitu menyedihkan ialah pergaulan itu boleh pula diisytiharkan atas tema ‘ukhwah fillah’, sedangkan ia langsung tidak menepati apa yang digariskan dalam syariat Islam. Tidak ada langsung hadith dan ayat Al-Quran yang mengharuskan ukhwah sesama lelaki dan wanita sebegini rupa, iaitu berhubungan kerana suka-suka ataupun mengamalkan adab berhubungan lelaki-wanita yang tidak Islamik.
Pemuda-pemudi Islam telah terpengaruh dengan gaya hidup sosial yang diperkenalkan generasi muda barat. Di sinilah kita lihat ada di antara generasi muda Islam telah mencampur-adukkan adab murni Islami dengan budaya barat. Akibatnya, lahirlah sikap "bergaul lelaki-wanita kerana Allah", di mana mereka menyangka boleh bebas berhubung sesuka hati mereka selagimana mereka menjaga aurat dan pandangan.
Inilah satu perkara yang kerap diambil mudah. Sebenarnya hanya dengan menjaga ciri-ciri zahir dalam perhubungan lelaki dan wanita itu sahaja tidak mencukupi. Matlamat perhubungan dan niat di hati perlu juga dijaga. Dalam erti kata lain, selain menjaga adab-adab berhubung lelaki-wanita menurut Islam, matlamat perhubungan tersebut hendaklah memberi manfaat, dan niat perhubungan tersebut adalah untuk menyelesaikan urusan yang dihajatkan; bukannya diniatkan atas sebab ingin berbual-bual dengan ’si dia’ dan sebagainya.
Semoga penulisan ini memberi manfaat kepada diri saya dan diri anda semua. Sesungguhnya kita tidak dapat lari daripada kesilapan dalam kehidupan. Orang yang bijak dan baik akan sentiasa memperbaiki dirinya jika adanya kelemahan dan bertaubat daripada melakukannya lagi. Saya berdoa agar saya dan anda tergolong dalam orang seperti itu. Semoga Allah tunjukkan kita ke jalan yang lurus dan kehidupan yang penuh hikmah dan hidayah dariNya.
Wallahu a’lam
~ moojahid.blog

4 comments:

Ad-Dien said...

Alhamdulillah...benar apa yg enti katakan..
dan baru 2 ni dalam kuliyyah tasawuf mengatakan yg ukhuuwah islamiyyah yg sbnarnya tidak akan wujud daripada ikatan adik bradik, kawan rapat ataupun perkahwinan...

Ad-Dien said...

singgah la ke WADi..jom ler baca ni

Amalan Kita Diterima @ Tidak??

Ad-Dien said...

WADi ziarah kembali MPS..
WADi ada tag blog MPS di entri WADi..

World of Ad-Dien (WADi)- MPS klik sini yer..huhu

WALLAHUA'LAM said...

ASSALAMUALAIKUM..
bleh x nk mintk izin copy artikel nie untk share lam belog?

Teman seperjuangan..