Jangan Melaknat Orang Lain...



"Laknat Allah “ ertinya jauh dari rahmat Allah sedangkan "Laknat Manusia” pula maknanya mencaci maki.

Ucapan laknat  ini mungkin perkara biasa bagi  lingkungan kita seolah-olah saling melaknat merupakan perkara yang biasa bagi sesetengah org,malah sering dijadikan gurauan,  padahal melaknat seorang Mukmin termasuk dosa besar. 


Thabit bin Adl Dlahhak radhiallahu 'anhu berkata: 
"Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam bersabda:' Siapa yang melaknat seorang Mukmin maka ia seperti membunuhnya. ' "(HR. Bukhari dalam Shahihnya 10/464)



 Ucapan Nabi Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam : ((“Fahuwa Kaqatlihi”/Maka ia seperti membunuhnya)) dijelaskan oleh Al Hafidh Ibnu Hajar Al Asqalani rahimahullah dalam kitabnya Fathul Bari : “Kerana jika ia melaknat seseorang maka seakan-akan ia mendoakan kejelekan bagi orang tersebut dengan kebinasaan.”


Pada masa kini, Sebahagian kita begitu mudah melaknat (memaki/mencaci)  orang yg ia benci bahkan orang yg sedang berpekara dengannya, sama saja apakah itu anaknya, suaminya, haiwan atau selainnya. 
Lebih menghairankan, mencaci maki menjadi satu gurauan zaman anak muda masa kini. Malahan menjadi trend sebahagian mereka, tidak lainnya wanita yang mengaku muslimah sejati mahupun lelaki seumpamanya.


Ana sendiri berhadapan dengan situasi sedemikian, dikelilingi oleh insan-insan yang begitu gemar mencaci orang lain. Jauh sekali ana berkata ana sempurna tetapi ana usaha menjauhinya. Budaya Mengumpat dan mencaci orang lain sememangnya membingitkan telinga kita bagi yang membencinya. 
Tidak terkecuali muslimah yang mengaku dirinya sejati berniqab, bertudung labuh, menutup aurat dan sebaliknya, semua tidak lari dari sifat ini. Justeru, apabila kita mendengar celaan, kita sepatutnya bertindak menyembunyikan keburukan itu sekalipun seseorang yang dicela memang melakukan dosa yang mengaibkan kerana kemungkinan orang itu sudah bertaubat dan taubatnya diterima oleh Allah.
Sesungguhnya sesiapa yang berbuat demikian ganjarannya adalah amat besar di akhirat kelak.

Begitu mudah seseorang yang mengaku dirinya Mukmin namun lisannya terlalu mudah untuk melaknat (mencaci maki)
Sebenarnya perangai 'jelek' ini bukanlah milik seorang Mukmin, sebagaimana Nabi Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam bersabda:

"Bukanlah seorang Mukmin itu seorang yang suka mencela, tidak pula seorang yang suka melaknat, bukan seorang yang keji dan kotor ucapannya."

 (Hadis riwayat R. Bukhari dalam Kitabnya Al Adabul Mufrad)
Dan melaknat itu bukan pula sifatnya orang-orang yg jujur dalam keimanannya (shiddiq), kerana Nabi Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam bersabda:
 "Tidak layak bagi seorang shiddiq untuk menjadi seorang yang suka melaknat." (Hadis Riwayat. Muslim no. 2597)

 Sedangkan dalam Ayat al-Quran  melarang kita daripada menghina orang lain.

"Wahai orang yang beriman!  Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan, mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah daripada kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan jangan pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat daripada perbuatan fasiknya itu maka merekalah orang yang zalim.  "

(Surah al-Hujurat ayat 11)



Firman AlIah lagi yang bermaksud:

"Wahai orang yang beriman!  Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati ? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani.  "

(Surah al-Hujurat ayat 12).


Ketahuilah sahabat-sahabatku, Pada hari kiamat nanti, orang yg suka melaknat tidak akan dimasukkan ke dalam barisan para saksi yang mempersaksikan bahwa Rasul mereka telah menyampaikan risalah dan juga ia tidak dapat memberi syafaat di sisi Allah guna meminta ampun bagi seorang hamba. Nabi Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam bersabda: "Orang yang suka melaknat itu bukanlah orang yang dapat memberi syafaat dan tidak pula menjadi saksi pada hari kiamat." 
(HR. Muslim dalam Shahihnya no. 2598 dari Abi Darda' radhiallahu 'anhu) 

Perangai yg buruk ini sangat besar bahayanya bagi pelakunya sendiri. Bila ia melaknat seseorang, sementara orang yang dilaknat itu tidak sepatutnya untuk dilaknat maka laknat itu kembali kepada dirinya sebagai orang yg mengucapkan
.

 Islam juga mengajar umatnya adab agar tidak menghina dan mencerca  pengamalan agama lain sebagaimana firman Allah SWT :-

 "Dan janganlah kamu mencerca mereka yang mengajak kepada selain Allah nescaya mereka juga akan mencerca Allah dalam keadaan permusuhan tanpa sebarang ilmu " ( Al-Anam : 109 )

Maka para ulama tafsir mentafsirkan maksud ayat di atas dengan kata mereka :- 
" Iaitu janganlah kamu mencerca tuhan mereka kerana ia akan menjadi sebab pula mereka mencerca Allah ( At-Tashil Li 'Ulum At-Tanzil, 2/18 ;Tafsir Al-Bagahawi, 2/121)"

Rasulullah SAW  bersabda yang maksudnya:
"Sesiapa yang menolak kata-kata buruk terhadap kehormatan diri saudaranya, nescaya Allah menolak api neraka daripada mengenainya pada hari kiamat." (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi)




Kesimpulannya... Melakukan perbuatan seperti memperli, memperolok-olok, mengejek, menghina, memperleceh, memperlekeh , mencaci kemampuan orang lain, memanggil orang lain dengan gelaran yang tidak baik, memalukan orang, menyatakan kekurangan orang secara terang-terangan kepada orang lain dan sebagainya adalah perbuatan yang sangat dilarang oleh Allah.

Sesiapa yang mencaci orang lain dengan perkataan-perkataan yang buruk seumpama dia mencaci dirinya sendiri.

Sebaik-baiknya sebagai umat Islam kita hendaklah hidup saling hormat-menghormati, bantu-membantu dan tolong-menolong tanpa mengira agama dan keturunan orang yang ingin dibantu.InsyaAllah

Setelah kita mengetahui buruknya perangai ini dan ancaman serta bahayanya yang bakal diterima oleh pengucapnya, maka hendaklah kita bertakwa kepada Allah Ta'ala. Janganlah kita membiasakan lisan kita untuk melaknat kerana kebencian dan ketidaksenangan pada seseorang. Kita bertakwa kepada Allah Taala dengan menjaga dan membersihkan lisan kita dari ucapan yang tidak pantas dan kita basahi selalu dengan kalimat thayyibah..

Wallahu a'lam bis shawwab. 

0 comments:

Teman seperjuangan..