IMAN DAN ISLAM YANG SEMPURNA




Firman Allah Taala, maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut (nama) Allah (dan sifat-sifatNya): gementarlah hati mereka (keranatakut melanggar laranganNya), dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah;
"Mereka juga mendirikan sembahyang dan mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepadanya;
"Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya (dan dengan sempurnanya) (2-4 Al-Anfal),
Hadis Keempat Belas

 عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ. (البخاري ومسلم)

14 - Dari Anas r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidaksempurna iman seseorang dari kamu sehingga aku menjadi seorang yang dikasihi olehnya lebih daripada ibu bapanya, anak pinaknya, danmanusia seluruhnya."
(Bukhari dan Muslim)
Hadis yang keempat belas ini menegaskan bahawa:
Hakikat iman seseorang tidak akan sempurna melainkan apakala ia mengutamakan kasihnya kepada Rasulullah s.a.w.
Huraiannya:
Sebagaimana yang sedia maklum bahawa sebab-sebab yangmenjadikan seseorang tertarik hatinya menghargai, suka,  berkenan ataukasih kepada sesuatu perkara atau seseorang ada kalanya kerana sesuatu perkara atau seseorang itu memberi:
1) Keseronokan atau kesedapan kepada pancainderanya, seperti rupa yangcantik,  suara yang merdu, bau yang harum, makanan atau minuman yang lazat, dan pakaian atau tubuh badan yang halus lembut; 
2) Ketenteraman dan kesukaan kepada jiwa dan fikirannya, seperti amalibadat yang salih, budi bahasa yang mulia dan ilmu pengetahuan yang berguna;
3) Keselamatan dan kebahagiaan kepada keadaan hidupnya dunia dan akhirat, seperti harta benda, anak pinak, kaum keluarga dan kawan teman. 
Kalau salah satu dari sebab-sebab itu menjadi daya penarik hati seseorang maka tentulah lebih kuat dan lebih mendalam tertariknya hati seseorang itu kepada sesuatu perkara atau seseorang yang ia percaya ada padanya semua sebab-sebab yang tersebut dan tidak terhimpun sebab-sebab daya penarik itu pada makhluk yang lain daripada junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.
Oleh yang demikian tidak sempurna iman seseorang selagi ia tidakcinta kasih kepada Rasulullah s.a.w., tidak suka dan tidak berkenan kepada apa yang dibawanya dan tidak menghargai ajaran-ajarannya.
Sebenarnya cinta kasih kepada Rasulullah s.a.w. ialah suka dan berkenan mematuhi suruhannya dan meninggalkan larangannya.
Seseorang - walau sesiapa pun - apabila ia mengetahui sesuatu perkara yang dapat menarik hati dan keredhaan orang yang dikasihinya seperti isterinya atau sahabatnya atau ketuanya, tak dapat tidak ia akan melakukan perkara itu dan menyempurnakannya. Maka bagi orang yang cinta kasih kepada Rasulullah s.a.w. sudah tentu tidak ada sesuatu perkara punsama ada dari urusan dunia atau agama yang wajib disegerakan mengerjakannya lebih daripada melakukan apa yang disukai dan diredhai oleh Rasulullah s.a.w.
Suka dan berkenan yang tersebut adalah dan kewajipan agama yang diterangkan oleh Allah Taala di dalam Al-Qur'an al-Karim, ayat 24,surah At-Taubah, yang maksudnya:
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan danperniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumahtempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada)berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab siksaNya), kerana Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada orang-orang yang fasik. "
Hadis Kelima Belas
15- عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ. (البخاري ومسلم)
15 - Dari Anas ra., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Tidaksempurna iman seseorang dari kamu sehingga ia suka saudaranyamendapat (kebaikan seperti) apa yang ia sendiri suka mendapatnya."
(Bukhari dan Muslim)
Hadis yang kelima belas ini menerangkan bahawa:
Tidak sempurna iman seseorang yang tidak mempunyai perasaan timbang rasa persaudaraan sesama manusia. 
Huraiannya:
Islam mahukan masyarakat yang bersatu padu dan perpaduan yang demikian tidak akan wujud melainkan dengan adanya perhubunganyang baik yang menghubungkan orang-orang perseorangan antara satu dengan yang lain dan menghubungkan mereka dengan masyarakat seluruhnya!
Sebaik-baik asas yang menjamin keselamatan dan kemajuan bagi masyarakat dan menjamin kehidupan yang aman bahagia - ialah: "Hendaklah tiap-tiap seseorang dari mereka sukakan kebaikan bagi orang lain sebagaimana ia menyukainya bagi dirinya sendiri."
Ada di antara manusia yang sukakan dirinya sahaja dan tidakmemikirkan orang yang menderita sakit pening, kemiskinan dan duka nestapa.
Jenis manusia yang demikian tidak mengakui persahabatan pertaliankaum kerabat dan maruah kecuali jika ia ada mempunyai sesuatufaedah disebaliknya.
Kebaikan pada pandangannya ialah yang membawa faedah kepadanya walaupun faedah itu haram;  dan kejahatan pada pandangannya ialah perkara yang menyebabkan dia mengeluarkan tenaga dan harta benda, sekalipun perkara itu mendatangkan faedah kepada anak-anak watannya, atau sahabat-sahabatnya atau pun kaum kerabatnya.
Ada kalanya dia bertambah perasaan tamak halobanya, sehingga dia memandang dirinya sahajalah yang berhak mendapat kebaikan dan orang lain tidak berhak mendapat sesuatu pun, lalu dia berusaha untuk mendapat segala-galanya, sekalipun benda-benda itu dari harta benda orang-orang miskin dan makanan orang-orang yang dhaif lemah.
Jenis manusia ini, yang hidup untuk kepentingan dirinya semata-mata dimurkai Allah Taala, dibenci oleh Islam dan disifatkan akhlaknya yang demikian, terkeluar dan dasar Islam.
Ada pun jenis manusia yang dikasihi Allah dan diredhai oleh masyarakat - ialah orang yang hidup untuk dirinya dan untuk orang lain dansentiasa memikirkan kebaikan umat manusia sebagaimana iamemikirkan kebaikan dirinya sendiri, kerana sikap yang demikian adalah dari iman yang sempurna. 
Cinta kasih kepada umat manusia yang tidak memusuhi Islam danpelaksanaan tanggungjawab terhadapnya - itulah yangmenguatkan perhubungan sesama manusia sekalipun berlainan bangsa danagama dan itulah jua yang menghapuskan banyak di antara kejahatan-kejahatan dan perbuatan yang durjana.
Seseorang yang mengikat perhubungannya dengan orang lain berdasarkanasas yang tersebut ialah orang yang bersih suci hatinya dan segalasifat yang keji,  seperti hasad dengki,  dendam kesumat,  sombong angkuh dan sebagainya. Orang itu ialah juga orang yang waras fikiran dan kesedarannya, serta menjadi anggota masyarakat yang baik dan berguna.
Hadis Keenam Belas
16عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَلَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُونَ هَوَاهُ تَبَعًا لِمَا جِئْتُ بِهِ. (الأربعين النووية)

16 - Dari Abdullah bin `Amr r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Tidak sempurna iman seseorang dari kamu, sehingga hawa nafsunyatunduk menurut hukum-hukum dan pengajaran yang aku telah membawanya."
(Al-Arba'in An-Nawawiyah).
Hadis yang keenam belas ini menerangkan bahawa:
Sempurnanya iman seseorang adalah dengan menurut bulat-bulat apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
Huraiannya:
Junjungan kita Muhammad s.a.w.  bukan sahaja seorang penganjur yangterkemuka bahkan Baginda juga seorang Rasul yang memimpinumat manusia dengan berpandukan wahyu dan Allah `Azza wa Jalla.
Oleh itu maka setiap orang hendaklah meletakkan kepercayaannya kepadaRasulullah s.a.w. lebih daripada kepercayaannya kepada diri sendiri dan apa yang dibawa oleh Baginda tidak boleh ditentang dengan apa yang difikirkan dan dipersetujui oleh diri masing-masing kerana segala yang disampaikan oleh Baginda dan Tuhan bukan untuk dicuai-cuaikan dan bukan pula untuk dijadikan suatu perkara yang diserahkan kepada perasaan dan runtunan hawa nafsu;  bahkan untuk dipatuhi dengan perasaan tenang hati sertapersetujuan yang sebulat-bulatnya.
Orang yang mengutamakan fikiran atau pendapat dirinya daripada apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. maka imannya tidak sempurna.  Demikian juga sesiapa yang memutar belitkan atau melakukan ta'wilan-ta'wilan terhadap ajaran-ajaran agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. untuk menyesuaikannya dengan kemahuan atau fikirannya sendiri maka nyatalah imannya tidak sempurna. 
Oleh itu, jika ada yang terdorong berbuat demikian, maka segeralahrujuk ke jalan yang benar,  semoga ia selamat di dunia dan di akhirat.
Hadis Ketujuh Belas
17- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَزْنِي الزَّانِي حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَا يَشْرَبُ الْخَمْرَ حِينَ يَشْرَبُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَا يَسْرِقُ حِينَ يَسْرِقُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَا يَنْتَهِبُ نُهْبَةً يَرْفَعُ النَّاسُ إِلَيْهِ فِيهَا أَبْصَارَهُمْ حِينَ يَنْتَهِبُهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ. (البخاري ومسلم)
17 - Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Seseorang yang hendak berzina, tidak akan melakukan zina itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya dan seseorang yang hendak meminum arak,  tidak akan meminum arak itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya dan seseorang yang hendak mencuri,  tidak akan melakukan perbuatan itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya dan seseorang yang melakukan rompakan yang lazimnya menjadikan orang yang dirompak itu memandang sahaja kepadanya, tidak akan merompak semasa ia berkeadaan sempurna imannya."
(Bukhari dan Muslim)
Hadis yang ketujuh belas ini menegaskan bahawa:
Orang yang tergamak melakukan sesuatu yang dilarang, tidak sempurna imannya.
Huraiannya:
Kebahagiaan hidup seseorang atau sesuatu bangsa adalah bergantung kepada pertalian keturunannya yang bersih serta berkekalan dankeselamatan akal fikirannya serta harta bendanya.
Untuk mencapai kebahagiaan hidup itu maka perbuatan zina yang menodai pertalian keturunan hendaklah dijauhi dan perbuatan meminum arak atau menghisap benda-benda yang merosakkan akal fikiran hendaklah disingkirkan, juga perbuatan curi dan rompak samun hendaklah dihapuskan.
Dengan wujudnya pertalian keturunan yang bersih dan berpanjangan itu wujudlah pula perasaan pertalian kaum kerabat dan kebangsaan yang dengan kekuatan dan pengaruhnya seseorang itu akan mendapat kekuatan untuk mencegah sebarang bahaya yang akan menimpanya dan wujudlah pula hubungan tolong-menolong dengan jalan pertalian kerabat dansemangat kebangsaan dalam segala urusan hidup, kerana biasanya seseorang itu apabila ditimpa sesuatu kesusahan yang menjadikan diamemerlukan bantuan, ia tidak mendapati bantuan itu melainkan dari orang-orang yang ada pertalian keturunan dengannya, maka dengan wujudnya pertalian keturunan dan kerabat yang suci dan sihat, eloklahkeadaan segala lapisan masyarakat dan tenteramlah keadaan negara.
Demikian juga dengan terselamatnya akal fikiran dari sebarang perkara yang merosakkannya, dapatlah manusia menimbang dan mengenal manayang baik dan mana yang buruk,  mana yang hak dan mana yang batil dan dapatlah pula memikirkan soal-soal ketuhanan serta soal iman dan taqwa.
Demikian pula dengan terselamatnya harta benda yang menjadiasas kehidupan seseorang, akan dapatlah ia memajukan segala urusandunia dan agama dengan sempurna. 
Kebenaran hakikat ini diakui oleh ahli-ahli fikir yang bijak pandai,  bahkan semua agama yang diturunkan oleh Allah Taala bertujuan menjaga perkara-perkara yang tersebut dari apa juga yang merosakkannya.
Malangnya perbuatan zina yang menodai pertalian keturunan,  perbuatan meminum arak yang merosakkan akal fikiran, dan perbuatan curirompak yang memusnahkan hak milik orang lain dengan tidak berperikemanusiaan - dilakukan dengan bermaharajalela bukan sahaja oleh orang-orang yang jahil bahkan juga orang-orang yang terpelajar.
Berlakunya yang demikian adalah disebabkan ketiadaan ataukelemahan iman dan dengan itu mudahlah mereka dipengaruhi oleh runtunan hawa nafsu dan keadaan buruk yang disekelilingnya.
Untuk mencegah perbuatan-perbuatan yang durjana itu, tidak lain melainkan dengan jalan yang memelihara dan menghidupkan iman yang kukuh dan sempurna. 
Hadis Kelapan Belas
18عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَالْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ. (مسلم)

18 - Dari Abdullah bin `Amr r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Seseorang Muslim (yang sempurna Islamnya) ialah yang terselamat orang-orang Islam dari lidahnya dan tangannya.
(Muslim)
Hadis yang kelapan belas ini menerangkan bahawa:
Orang-orang yang sempurna Islamnya tidak melakukan sebarang angkara.
Huraiannya:
Perkataan "Islam" ialah pecahan dari perkataan "Salam" ertinya:Selamat sejahtera.
Orang Islam yang sebenar-benarnya - selain daripada menunaikan rukun-rukun agama sedaya upayanya - ia tidak sekali-kali akan melakukan sebarang angkara dan pencerobohan terhadap orang yang tidakmengganggu keselamatannya, sama ada dengan lidahnya atau dengan tangannya atau pun dengan apa jua.
Sebaliknya orang Islam yang tergamak melakukan sebarang perkara yang merosakkan orang lain, ialah orang yang tidak sempurna Islamnya.
Hakikat ini dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sepotong hadisnya yangbermaksud: 
"Orang-orang yang sempurna Islamnya adalah bersaudara dengan semua orang yang tidak memusuhinya terutama sekali orang-orang Islam); salah seorangnya tidak harus melakukan kezaliman kepada saudaranya, tidakharus dibiarkan dia teraniaya dan tidak dibela, tidak harus menyatakan kepadanya sesuatu yang dusta dan juga tidak harus menghinakan atau memandang rendah kepadanya."
Hadis Kesembilan Belas
19- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ حُسْنِ إِسْلَامِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيهِ. (الترمذي وغيره)
19- Dari Abu Hurairah, r.a., Dari Nabi s.a.w. sabdanya: "Sebahagian dan keelokan dan kesempurnaan Islam seseorang ialah meninggalkan perkara-perkara yang tidak perlu kepadanya."(Tirmizi dan Lain-Lainnya).
Hadis yang kesembilan belas ini menerangkan tentang;
Sebahagian dari kesempurnaan Islam.
Huraiannya:
Manusia dalam alam kehidupan ini menghadapi perkara-perkara yangwajib dilakukannya dan yang mesti ditinggalkan. 
Perkara-perkara yang wajib dilakukannya itu ada yang untukmasa hidupnya di dunia dan ada yang untuk hidupnya di akhirat.
Untuk masa hidupnya di dunia ialah makan minum,  pakal patut, berumahtangga, beranak pinak dan sebagainya dan untuk hidup di akhirat pula ialah segala amal ibadat yang ditentukan mengerjakannya.
Ada pun perkara-perkara yang mesti ditinggalkan ialah segala perkara yang tidak meluputkan dia dari mendapat pahala atau faedah dan tidak pula mendatangkan sebarang mudarat kepadanya jika ia tidak melakukannya.
Dengan tercantumnya perkara-perkara yang wajib dilakukan dan yang mesti ditinggalkan maka sempurnalah Islam seseorang itu.

0 comments:

Teman seperjuangan..