Istimewanya MADINAH







بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ



اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 

Rasulullah pernah berdoa yang maksudnya:

Ya Allah, berikanlah kecintaan kami kepada Madinah sebagaimana Engkau berikan kecintaan kepada Makkah, atau lebih dari itu dan bersihkanlah ia serta berkatilah kepada kami dalam makanan dan bekalnya dan gantikan wabak penyakitnya dengan juhfah.”


(Bukhari dan Muslim)






Rasulullah SAW telah berhijrah ke Madinah dan menjadikannya sebagai medan dakwah dan seterusnya sebagai Tanah Suci kedua selepas Tanah Suci Makkah al-Mukarramah. Ia kaya dengan sejarah-sejarah yang jelas terkandung di dalam Al-Quran. Sebelum Rasululullah SAW memasuki Madinah, ia merupakan sebuah negeri tempat bersarangnya penyakit.

Antara kelebihan dan keistimewaan Madinah ialah:

1.Bumi Yang Subur Dan Makmur- Bumi Madinah mengeluarkan tamar Ajwah yang mempunyai khasiat lebih daripada khasiat yang terdapat pada tamar-tamar lain. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesiapa yang di waktu pagi makan 7 biji kurma Ajwah, pada hari itu dia tidak akan terkena racun mahupun sihir.”

2. Masjid Nabawi- Ia terletak di tengah-tengah kota Madinah. Asalnya ia merupakan tapak pusat pengeringan tamar dan kebun tamar milik dua orang anak yatim iaitu Suhail dan Sahl. Rasulullah SAW telah membeli tanah itu daripada mereka dan membangunkan masjid bersama-sama dengan Kaum Ansar dan Muhajirin. Sabda Rasulullah SAW: “Pahala solat di masjidku ini adalah 1000 kali lebih baik daripada solat di lain-lain masjid kecuali di Masjidil Haram,”( Bukhari dan Muslim)

3. Tanah Haram- Seperti Makkah, Madinah juga merupakan tanah haram. Ianya menjadikan setiap umat Islam sentiasa berwaspada dan memelihara diri daripada melakukan perkara yang dimurkai Allah SWT ketika berada di sana. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Madinah adalah tanah haram, letakknya antara Bukit Eir dan Bukit Tsur,sesiapa yang melakukan kezaliman (maksiat) atau melindungi orang yang melakukan kezaliman di dalamnya maka ke atasnya laknat Allah SWT,malaikat dan manusia seluruhnya dan semua amalan sama ada yang wajib atau sunat tidak diterima oleh Allah SWT daripadanya pada hari kiamat kelak.” ( Bukhari dan Muslim)


4.Keutamaan Meninggal Dunia di Madinah- iaitu bagi sesiapa yang boleh menetap di Madinah hingga sampai ajalnya. Oleh kerana ini jugalah maka Khalifah Umar r.a pernah berdoa kepada Allah SWT: “Ya Allah, kurniakanlah aku syahid di jalan-Mu dan jadikanlah matiku di negeri Rasul Mu.”

5.Terpelihara Daripada Dajjal- Madinah merupakan kota yang dijanjikan Rasulullah tidak akan di masuki oleh Dajjal. Anas ibn Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Tidak ada suatu negeri pun kecuali Dajjal akan memasukinya kecuali Makkah dan Madinah ,di keduanya tidak terdapat satu tempat pun kecuali para malaikat akan berbaris menjaganya. .Kemudian Madinah akan menggongcangkan penduduknya sebanyak tiga kali,lalu Allah SWT mengeluarkan setiap orang kafir dan munafik.”(Riwayat Bukhari)

Demikianlah antara kelebihan atau keistimewaan Madinah. Maka tidak hairanlah jika sekali bumi Madinah dipijak, akan terasa kerinduan untuk mengunjunginya lagi. Ini kerana suasana di Madinah cukup aman dan damai serta penuh dengan ketenangan. Semoga dengan mengunjungi Madinah akan dapat menambahkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT.

0 comments:

Teman seperjuangan..