BATAS PERGAULAN !



Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala di dalam Al-Qur'an mafhumnya:
 "Dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka atau putera-putera mereka atau putera-putera suami mereka atau saudara-saudara mereka atau putera-putera saudara mereka atau putera-putera saudara perempuan mereka atau wanita-wanita Islam atau budak-budak yang mereka miliki atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang wanita.?"
(Surah An-Nur: ayat 31)




AKHLAK PERGAULAN

Antara akhlak yang diutamakan dalam Islam ialah sifat haya' (malu). Haya' adalah satu instrumen yang digunakan untuk membina kesucian dan mengawal pergaulan.
"Setiap agama ada akhlaknya, dan akhlak Islam itu adalah haya'"?
(Hadis Riwayat Malik, Ibn Majah, Baihaqi)

"Malu dan iman itu adalah teman seiring dan sejalan.Bila yang satu diangkat maka yang lainpun akan terangkat pula"
(Hadis Riwayat Muslim)

Lelaki dan wanita yang beriman dan telah memiliki sifat haya' akan sentiasa menjaga kesucian dirinya dari perbuatan dosa.Dalam hal ini, hendaklah langkah-langkah berikut diambil perhatian dengan serius:

(1) Suci dari syahwat yang tersembunyi
Di dalam hukum Islam, kecenderungan dan syahwat seorang lelaki terhadap wanita diluar nikah adalah sama dengan perbuatan zina. Oleh itu nafsu berahi ketika melihat, bercakap, serta mengunjungi wanita adalah perbuatan zina. Islam menghukumnya sebagai haram kerana ia merupakan langkah-langkah awal bagi seseorang untuk menuju kearah zina!

(2) Suci dari pandangan-pandangan berahi
Pandangan penuh berahi antara lelaki dan wanita adalah merupakan pintu menuju maksiat yang sangat bahaya. Firman Allah Ta'ala maksudnya:
"Katakanlah kepada laki-laki yang beriman : hendaklah mreka menahan pandangan mereka... Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman; hendaklah mereka menahan pandangan mereka..."
(Surah An-Nur: ayat 30-31)

(3) Suci dari tabarruj jahiliyyah
Tabarruj jahiliyyah ialah kesukaan untuk memperlihatkan kecantikan dan perhiasan dirinya. Al-Qur'an menamakan segala perbuatan yang bertujuan untuk memikat serta menarik perhatian selain dari suami sebagai tabarruj jahiliyyah.

Firman Allah Ta'ala mafhumnya:
?"..dan janganlah kamu berhias dan bertingkahlaku seperti orang jahilyyah dahulu"
(Surah Al-Ahzab: ayat 33)

Sabda Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam maksudnya:
"Wanita yang memakai wangi-wangian,kemudian dia keluar dan melewati suatu kaum (lelaki ajnabi) agar mereka mencium harum baunya, maka dia adalah penzina, dan tiap-tiap mata yang memandang itupun adalah zina"
(Hadis Riwayat Ahmad, Baihaqi dan Al-Hakim)

(4) Suci dari pendedahan aurat
Sebagai kesimpulan, dapatlah difahami bahawa sifat haya' menjadikan seseorang terlindung dari pencemaran kesucian dirinya. Sifat haya' adalah hasil dari didikan akhlak Islami yang menjadikan seorang beriman dapat menghapuskan segala kecenderungan jahat yang ada di dalam hati dan dirinya. Semua tindakan yang diambil Islam adalah ditujukan kepada perbaikan masyarakat Islam sehingga kelemahan-kelemahan individu tidak meluas menjadi penyakit sosial masyarakat.





MASALAH

(1) Adakah kita, wanita Islam boleh membuka aurat di depan wanita bukan Islam jika mereka datang bertandang ke rumah (kawan jepun dan lain-lain)?
Jawapan: Islam amat berhati-hati dalam permasalahan aurat ini, maka dengan itu demi menjaga kesucian agama Islam itu sendiri dan ditakuti wanita bukan Islam ini menceritakan perihal aurat kita pada orang lain terutamanya lelaki ajnabi, adalah lebih baik kita berpakaian sempurna menutup aurat sepanjang mereka berada dirumah kita.

(2) Bagaimana pula dengan pergaulan sesama sempai-kohai lelaki dan perempuan melalui istilah adik-abang angkat pula?
Jawapan: Kita perlu berhati-hati dan berwaspada senantiasa dalam pergaulan lelaki perempuan ini. Hati kita perlu bebas dari segala sifat yang boleh mendatangkan maksiat dari sekecil-kecilnya hinggalah yang besar. Ingatlah walau sebaikmana niat sekalipun jika caranya salah maka ia tetap salah dan haram. Dalam Islam tiada istilah adik-abang angkat tetapi ikatan ukhuwah itu lebih tinggi nilainya di sini.

Peringatan:
Berwaspada dan beringatlah selalu dalam hal pergaulan lelaki-perempuan ini. Jangan terlalu mengharap bantuan dan berhubung biarlah berpada dengan sempai atau rakan sebaya yang berlainan jantina ini.  Elakkanlah diri dari melakukan perkara yang boleh mendatangkan maksiat dari sekecilnya hinggalah yang besar. Hadirilah majlis ilmu serta hampirilah golongan yang berilmu.

1 comments:

MOHD NUR SYUFAAT said...

TERIMA KASIH ATAS PERKONGSIAN ILMU...INSYA-ALLAH AKAN MENJADI PANDUAN SAYA DALAM MENEMPUH CABARAN DAN DUGAAN YANG AKAN TIBA NANTI...SEMOGA ALLAH MEMBERKATI USAHAMU YA UKHTI(",)

Teman seperjuangan..