Tudungmu Jarang Bajumu Nipis



Apabila dikisahkan tentang peristiwa Isra’ wal Mikraj, di mana Nabi s.a.w mengatakan bahawa Baginda melihat ramai kaum wanita di neraka, maka ramai di kalangan muslimah kita merasa risau serta bimbang. Bimbang dengan keadaan kaum mereka yang dinyatakan banyak menjadi penghuni mereka. Bertitik tolak dari rasa bimbang, mereka berusaha menjaga diri mereka sewaktu di dunia dari segala aspek, supaya kelak mereka terselamat dari menjadi salah seorang penghuni neraka.
Dan inilah namanya Taqwa. Rasa takut dan bimbang dengan tempat tinggal kita apabila telah pergi tak kembali.
Kali ini, apa yang mahu ditulis adalah secebis daripada sokongan kepada usaha-usaha muslimah tersebut, iaitu supaya mereka dapat meningkatkan ‘ sistem kawalan ‘ ke atas diri mereka yang mungkin kadang-kadang terlepas pandang.
”SUIS” LELAKI
Wanita diciptakan Allah dengan penciptaan yang cukup berbeza dengan lelaki. Termasuk dalam bab syahwat. Kalau ditilik dalam ilmu seksologi, ransangan pada lelaki berbeza dengan ransangan kepada wanita. Ransangan atau ‘suis’ seorang lelaki lebih mudah terpetik meskipun hanya melalui pandangan.
Dek kerana itu, bab menjaga mata dan pandangan sangat dititikberatkan kepada kaum Adam. Dari kerana mata, rosak iman dalam hati dan menghamburlah nafsu ke dunia tak bertepi.
Namun begitu, keazaman seorang lelaki untuk menjaga mata dan pandangan akan menjadi sukar sekiranya tidak mendapat kerjasama dari wanita. Kata mudahnya, keadaan lelaki akan menjadi payah sekiranya ‘suis’ mereka sering terpetik dan dipetik oleh kaum wanita.

MASALAH PAKAIAN
Mungkin tajuk ini sering dibicarakan dengan memfokuskan kepada kaum wanita yang tidak ‘berbaju penuh’ atau kaum wanita yang mana terlampau kaya sehingga menjadi ‘miskin’ lalu pakaian yang dipakai juga berlubang di sana sini. Tetapi kali ini, fokus kita adalah kepada muslimah yang disebutkan ciri-ciri mereka di awal artikel.
Muslimah yang benar-benar mahu selamat dari Neraka Allah. Muslimah yang benar-benar mahu mengambil berat tentang aspek kawalan diri mereka.
Mereka-mereka ini, pakaiannya Alhamdulillah menutup aurat. Itu kalau mengikut tafsiran ramai manusia, bahawa menutup aurat adalah membalut tubuh, meskipun ketat atau longgar tetapi nipis. Adapun mengikut tafsiran syarak, itu belum dikira menutup aurat dengan sempurna.
Contohnya, mereka memakai baju kurung dan tudung. Katakan tudungnya tidaklah terlalu besar atau labuh, tetapi menutup bahagian dada. Tetapi JENIS KAIN kedua-duanya samada baju atau tudung adalah dari jenis yang nipis.
Bermakna, apabila mereka berdiri atau berjalan di bawah sinaran cahaya ( lampu atau matahari ) maka bentuk tubuh atau leher akan kelihatan dengan jelas ataupun samar-samar.

SENGAJA ATAU TIDAK
Timbul pula persoalan, mereka memang sengaja memilih pakaian atau jenis kain begitu ataupun tidak sengaja? Sebab, ada muslimah yang memang jenis suka bergaya. Terhalang kerana Islam tidak membenarkan ketat-ketat atau nampak bentuk tubuh, maka dipilih jenis kain yang nipis dan ‘boleh tembus’.
Ada juga muslimah yang mahu beriltizam dengan pakaian muslimah, tetapi keinginan untuk berfesyen itu tetap tinggi. Lalu dia memakai jubah dan menyarung kain lace. Apabila dilihat oleh lelaki, akan menimbulkan daya tarikan dan ‘suprise’ terhadap pakaian yang dipakainya.
Pada saya, ketepikan dulu soal dia sengaja atau tidak. Niat di dalam hati manusia hanya Allah Yang Maha Tahu. Kadang-kadang, kerana terlalu sibuk menduga dan mengkaji niat orang, kita tidak bertindak mendekati orang tersebut untuk ‘diselamatkan’.

PERANAN
Kita perlu sedar, bukan semua orang yang beriltizam dengan pakaian muslimah seumpama jubah, tudung labuh, baju kurung, tudung menutupi dada dan sebagainya itu adalah orang yang berasal ataupun mendalami JURUSAN AGAMA. Atau pendek kata, mereka bukan semuanya ustazah.
Begitu juga, bukan semua ustazah atau jurusan agama itu pakaiannya seperti itu. Ada yang pakaiannya langsung tiada ciri-ciri pakaian mengikut syarak, bahkan ditambah dengan solekan tebal, perfume yang dapat dihidu sejauh dua batu dan sebagainya
Maka kita kembali kepada apa yang saya sebut di awal artikel, iaitu muslimah yang sifatnya mahukan Syurga Allah dan menggeruni Neraka Allah. Tidak kiralah dari jurusan apa sekalipun.
Niat yang baik perlu dikembarkan dengan ilmu yang benar. Memakai pakaian muslimah perlukan ilmu, barulah terbeza ciri-ciri jahiliah pada sesuatu pakaian. Kita risau, jika kita menyangka pakaian kita adalah menepati syarak namun hakikatnya telah tercampur dengan ciri jahiliah.
Justeru, kekurangan ilmu menjadi salah satu punca utama fenomena atau permasalahan tersebut. Ia perlu di atasi dengan mencari ilmu tersebut. Belajar dari guru meskipun tidak mampu menghadam setiap nas atau dalil.
Peranan muslimah yang telah sempurna pemakaiannya dan bebas dari permasalahan yang disebutkan pula adalah mendekati, memperbetulkan atau setidak-tidaknya mengangkat SYIAR pada pakaian yang kita pakai, supaya ia dapat dicontohi oleh rakan-rakan yang tahap kefahamannya tidak seperti kita.

PENUTUP
Jangan jadikan sikap kita sebagai penghalang untuk mereka beroleh kefahaman dan peningkatan dari segi berpakaian sama seperti kita. Asasnya, perlu difahami bahawa mereka juga adalah muslimah yang baik dan mahu terus menjadi baik.
Soal berfesyen mungkin saya tidak sentuh di sini. Tetapi soal jenis pakaian yang jarang dan nipis, ia sangat perlu diambil perhatian. Mudah-mudahan, dengan amalan saling menasihati dan menegur, akan berkuranglah amalan atau kebiasaan pemakaian seperti itu di kalangan muslimah kita.
Secara tidak langsung, ia memberi keselamatan kepada ‘bakal imam’ kita juga suatu hari nanti. Kita tentu tidak ingin menjadi ‘penekan suis’ atau ‘perosak iman’ kepada mereka, bukan?
Salam perubahan. 
~Penulisan yg begitu berhikmah dari www.myilham.com~

0 comments:

Teman seperjuangan..