WANITA DAN KERJAYA

Wanita sebagai anggota masyarakat

Para orientalis barat dan juga mereka yang tidak faham mengenai Islam mendakwa bahawa Islam merupakan agama yang kolot di mana ia telah memenjara serta mengikat kebebasan wanita dan wanita hanya disuruh berada di rumah sahaja. Mereka tidak dibenarkan keluar daripada rumah melainkan untuk menziarahi kubur. Dakwaan ini sama sekali tidak berasas dan hanya bertunjangkan kepada akal mereka yang lemah dan dipenuhi najis kejahilan.

Al-Quran telah menjadikan lelaki dan wanita sebagai dua gandingan yang bersepakat dalam memikul tanggungjawab yang besar dalam kehidupan Islam iaitu urusan dalam menunaikan konsep ‘amar makruf nahi munkar’ ( menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kemunkaran ). Ini dapat dilihat melalui maksud ayat 71 surah at-Taubah : Dan mereka yang beriman lelaki dan perempuan sebahagian mereka (adalah) menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf mencegah daripada yang munkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan rasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Dalam merealisasikan asas yang telah disebut dalam ayat tersebut maka telah tercatat dalam sejarah Islam di mana ada seorang wanita telah mengkritik pendapat Sayyidina Umar al-Khattab dalam masjid ketika beliau berucap atas minbar kepada orang ramai. Kritikan wanita itu menyebabkan beliau telah menarik pendapat beliau mengenai penetapan kadar mas kahwin dan menerima kenyataan yang telah dikeluarkan oleh wanita tadi. Beliau selepas itu menyatakan kepada orang ramai : ” Telah benar wanita ini dan telah salah Umar!”.

Mengenai maksud sebenar hadis Rasullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah yang bermaksud : Menuntut ilmu itu fardhu ke atas setiap muslim. maka para ulama’ telah bersepakat bahaea ia turut merangkumi kaum perempuan sehingga perempuan juga diwajibkan membetulkan aqidah, cara beribadat memperelokkan akhlak dengan adab Islam pada pemakaian, perhiasan dan sebagainya agar tidak terkeluar daripada garisan Islam.

Kewajipan menuntut ilmu ini juga bertujuan untuk memastikan perempuan sentiasa berada dalam garisan Islam pada perkara halal dan haram, tanggungjawab dan kewajipan sehingga Islam membenarkan kaum wanita belajar sampai ke tahap mampu berijtihad. Tidak boleh seorang suami melarang isterinya daripada menuntut ilmu yang wajib sekiranya dia sendiri tidak mampu untuk mengajar isterinya. Suami juga tidak boleh mengabaikan kewajipan menuntut ilmu terhadap isterinya. Sesungguhnya para isteri para sahabat baginda sentiasa pergi bertemu dengan nabi untuk bertanya beberapa masalah yang timbul. Perasaan malu tidak menghalang mereka daripada memperdalamkan ilmu agama.

Solat berjemaah tidak diwajibkan kepada kaum wanita walau pun ianya diwajibkan kepada lelaki. Solat perempuan di rumah lebih afdhal bersesuaian dengan keadaan mereka tetapi kaum lelaki tidak boleh melarang kaum wanita daripada datang solat berjemaah di masjid. Ini diambil daripada sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada Ibnu Umar yang bermaksud : Jangan kamu menegah orang menuju Allah ke masjid-masjid Allah.

Perempuan juga diharuskan keluar daripada rumahnya untuk menunaikan hajatnya sendiri atau pun hajat suami dan anaknya seperti keluar ke kebun, sawah dan juga pasar. Ini dapat diambil daripada kata-kata Asma’ binti Abu Bakar : Aku telah menjunjung tamar atas kepalaku dari tanah az-Zubair(suaminya) dan ia dari Madinah kira-kira satu pertiga farsakh ( kiraan lama ).

Perempuan juga diharuskan keluar bersama-sama tentera dalam peperangan bagi menjalankan tugas merawat dan membantu mereka yang sakit dan cedera dan juga tugas yang seumpamanya yang sesuai dengan fitrah dan kemampuan mereka. Imam Ahmad dan Bukhari telah meriwayatkan daripada ar-Rubai’ binti Mu’awwiz al-Ansariah telah berkata : “Adalah kami berperang bersama Rasulullah S.A.W dalam memberi minum kepada kaum dan memberi khidmat serta membawa pulang mangsa yang terbunuh dan cedera ke Madinah “. Diriwayatkan daripada imam Ahmad dan Muslim daripada Ummu ‘Atiyyah telah berkata :”Aku telah berperang bersama Rasulullah S.A.W sebanyak tujuh peperangan. Aku berada di belakang mereka dalam perjalanan, aku menyediakan bagi mereka makanan, aku merawat orang cedera dan aku mengerjakan masa diperlukan “. Ini merupakan kerja-kerja yang sesuai dan beretepatan dengan fitrah perempuan dan tugas mereka.

Manakala kerja mengangkat senjata dan berperang dan bukanlah daripada tugas kaum wanita melainkan jika tenaga mereka begitu diperlukan dalam keadaan tertentu. Ketika ini barulah mereka dibenarkan untuk bersama dengan kaum lelaki dalam berperang menentang musuh setkat yang mereka mampu. Ini pernah berlaku dalam sejarah Islam yang mana pada suatu hari Ummu Salim telah mengambil pisau besar dalam peperangan Hunain. Apabila suaminya Abu Talhah bertanya kepadanya maka dia menjawab : ” Aku mengambilnya adalah bertujuan jika ada sesiapa daripada musyrikin yang mara ke arahku nescaya aku akan tikam perutnya”. Ummu ‘Amarah al-Ansariah pula telah ditimpa percubaan yang baik pada peperangan Uhud sehingga Rasulullah S.A.W memujimya. Dalam peperangan dalam memerangi kaum yang murtad pada zaman Sayyidina Abu Bakar pula, dia telah menyaksikan serta menyertai peperangan itu sehingga matinya Musailamah al-Kazzab. Dia pulang dan ditubuhnya mempunyai sepuluh kesan luka akibat daripada peperangan itu.

Berkesinambungan daripada ini dapatlah kita fahami bagaimana Islam tidak pernah menafikan hak wanita dalam bekerja,menuntut ilmu dan keluar dari rumah disebabkan menjalankan tugas yang sesuai dengan mereka. Islam tidak pernah memenjarakan wanita diceruk dapur dan menjadikan mereka sebagai perhiasan. Ini adalah kerana Islam melihat betapa pentingnya kebebasan selagimana tidak bertentangan dengan syarak dan juga peranan wanita yang begitu penting dalam masyarakat terutama dalam membina generasi mendatang. Sebarang sekatan dalam menuntut ilmu kepada kaum wanita akan menyebabkan kejahilah akan membelenggu masyarakat kerana anak-anak biasanya mendapat pendidikan dan pengetahuan terutama dalam hal agama daripada ibu sebelum melangkah ke alam persekolahan. Kejahilan wanita akan menyebabkan anak mereka juga terus berada dalam kejahilan. Apabila kejahilan bermula daripada rumah maka ia akan merebak ke dalam masyarakat dan ini amat membahayakan. Oleh itu Islam tidak pernah menyekat kaum wanita daripada menuntut ilmu.

Kita juga dapat melihat bagaimana Islam telah menggariskan kepada kita bagaimana kerjaya yang sesuai untuk kaum wanita dan pandangan Islam kepada kaum wanita iaitu melalui beberapa kesimpulan berikut :

Pertama : Islam menjaga tabiat dan sifat kewanitaan yang telah difitrah oleh Allah kepada mereka serta menjaga mereka daripada sebarang unsur-unsur yang liar yang mahu menjatuhkan maruah mereka kepada perkara haram. Kita dapat lihat bagaimana Islam melarang wanita daripada terlibat dalam kerja yang merendahkan martabat dan maruah mereka seperti terlibat dalam kerja maksiat untuk memperdagangkan batang tubuh mereka serta mengaut keuntungan hasil daripada menayangkan aurat mereka kepada orang ramai yang mana dalam tidak sedar sifat kewanitaan mereka telah terhakis iaitu sifat malu dan menjaga maruah diri.

Kedua : Islam menghormati tugas wanita yang mulia yang sesuai dengan fitrah kejadian mereka. Mereka mempunyai sifat yang jarang ada pada kaum lelaki iaitu lemah lembut dan penyayang serta mudah berbicara dalam mendidik. Mereka juga mempunyai sifat mudah sensitif denganb suasana sekitar dan mengambil berat kepada mereka yang memerlukan. Sifat keibuan yang ada ini menyebabkan mereka merupakan orang yang paling layak dalam membina generasi mendatang dalam pendidikan sama secara formal mahu pun di rumah. Mereka merupakan kilang yang mampu mengeluarkan generasi yang akan datang. Rosaknya kaum wanita akan merosakkan generasi mendatang. Oleh itu para orientalis barat sentiasa berusaha dalam merosakkan wanita Islam agar generasi yang akan datang tidak lagi lahir sebagai generasi Islam yang hebat dan bakal menentang mereka. Sistem sekular yang ada tidak pernah mengambil berat mengenai perkara ini kerana ia hanya mementingkan keuntungan material atau keduniaan semata-mata.

Ketiga : Di rumah wanita dianggap sebagai permaisuri yang mana dialah merupakan pendidik, pengawal dan tempat rujukan anak-anak. Dia merupakan pasangan hidup kepada suami dan orang yang sentiasa bersepakat dalam hidup sebagai suami isteri. Dia merupakan ibu kepada anak-anak dan juga pentadbir kepada kekemasan serta keadaan di rumah sepanjang masa. Dia juga bertanggungjawab dalam mendidik anak-anak. Musuh Islam sentiasa mencari ruang di dalam membebaskan kaum wanita terutama isteri daripada menjalankan tanggungjawab mereka sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anak dengan dakyah dan kerja yang melupakan kaum wanita kepada tanggungjawab mereka yang sebenar dalam sebuah rumahtangga. Mereka cuba meracuni kaum wanita agar bekerja tanpa mengira kerjaya yang sesuai dengan mereka sehingga kaum wanita tidak lagi mempunyai masa dalam menguruskan urusan rumahtangga yang menyebabkan berlakunya kepincangan dalam rumahtangga. Kepincangan ini menyebabkan masyarakat pun turut tunggang langgang dengan masalah sosial yang begitu teruk. Akhirnya kerajaan turut menghadapi masalah dan kerugian yang besar dalam menangani permasalahan ini. Kerajaan sekular hanya memikirkan jalan penyelesaian yang mereka nampak sahaja sedangkan mereka terus mengabaikan masalah utama iaitu pembinaan rumahtangga yang teratur yang mana setiap anggota keluarga menjalankan tugas masing-masing dengan baik dan tidak mengabaikannya.

Keempat : Islam mahu terbinanya rumahtangga yang bahagia yang mana ia merupakan asas kebahagian dalam masyarakat. Rumahtangga yang bahagia hanya mampu terbina atas dasar percaya dan keyakinan sesama anggota keluarga. Bagaimana kebahagian ini boleh terbina jika masing-masing meragui antara satu sama lain dan jarang bertemu serta berbincang sesama anggota keluarga terutama suami dan isteri disebabkan masing-masing sibuk dengan urusan tugas di luar rumah. Masing-masing saling menuduh antara satu sama lain dalam melarikan diri daripada tanggungjawab. Jika suasana ini terus wujud maka rumahtangga yang harmoni gagal dicapai.

Kelima : Islam membenarkan kaum wanita untuk bekerja di luar rumah dengan syarat kerja atau tugas yang dijalankan adalah bersesuaian dengan tabiat, sifat dan juga kemampuan mereka serta tidak menghilangkan sifat kewanitaan mereka. Pekerjaan mereka pula mestilah bertepatan dengan syarak. Kerja ini diharuskan khususnya kepada mereka yang mana keluarga terlalu memerlukan tenaga mereka untuk bekerja di luar rumah bagi membiayai keperluan atau pun masyarakat sendiri begitu memerlukan kepada mereka dalam memenuhi peluang pekerjaan yang disediakan. Tetapi Islam tetap menggariskan beberapa hukum dan peraturan kepada kaum wanita yang bekerja di luar rumah dalam memastikan maruah dan fitrah mereka tidak terhakis dan dinodai.

Perkongsian dari blog pondokhabib.wordpress.com

0 comments:

Teman seperjuangan..