Apa Erti Menjadi Isteri Solehah


Apa erti menjadi isteri solehah. Pelbagai pandangan dan jawapan mampu kita tafsirkan, samada melalui pembacaan, perbincangan dan perkongsian pengalaman. Kita menyingkap kembali sejarah Nabi Ibrahim sewaktu baginda menziarahi menantunya. Pada  waktu itu, puteranya, Nabi Ismail tiada di rumah sedangkan isterinya belum pernah  bertemu  bapa  mertuanya, Nabi  Ibrahim.
Apabila  sampai  di rumah anaknya itu, terjadilah  dialog  antara Nabi Ibrahim dan menantunya.
Nabi Ibrahim :  Siapakah kamu?
Menantu :  Aku isteri Ismail.
Nabi Ibrahim :  Di manakah suamimu, Ismail?
Menantu :  Dia pergi berburu.
Nabi Ibrahim :  Bagaimanakah keadaan hidupmu sekeluarga?
Menantu : Oh, kami semua dalam kesempitan dan (mengeluh) tidak  pernah senang dan lapang.
Nabi Ibrahim :  Baiklah!  Jika suamimu  balik,  sampaikan  salamku padanya. Katakan padanya, tukar  tiang  pintu rumahnya (sebagai kiasan supaya   menceraikan isterinya).
Menantu :  Ya, baiklah.
Setelah Nabi  Ismail  pulang  daripada  berburu,  isterinya terus menceritakan tentang orang tua yang telah singgah di rumah mereka.
Nabi Ismail : Adakah apa-apa yang ditanya oleh orang tua itu?
Isteri :  Dia bertanya tentang keadaan hidup kita.
Nabi Ismail :  Apa jawapanmu?
Isteri :  Aku ceritakan kita ini orang yang susah. Hidup  kita ini selalu dalam kesempitan, tidak pernah senang.
Nabi Ismail :  Adakah dia berpesan apa-apa?
Isteri :  Ya ada. Dia berpesan supaya aku menyampaikan  salam kepadamu serta meminta kamu menukarkan tiang  pintu rumahmu.
Nabi Ismail :  Sebenarnya  dia  itu  ayahku.  Dia  menyuruh  kita berpisah. Sekarang  kembalilah  kau  kepada keluargamu.
Ismail  pun  menceraikan isterinya  yang  suka  merungut,  tidak bertimbang  rasa serta tidak bersyukur kepada takdir   Allah  SWT. Sanggup  pula mendedahkan rahsia rumah tangga kepada  orang  luar.
Tidak lama selepas  itu, Nabi Ismail berkahwin lagi. Setelah  sekian lama,  Nabi  Ibrahim  datang lagi ke Makkah  dengan  tujuan menziarahi  anak dan menantunya. Berlakulah lagi pertemuan  antara mertua dan menantu yang saling tidak mengenali.
Nabi Ibrahim :  Dimana suamimu?
Menantu :  Dia tiada dirumah. Dia sedang memburu.
Nabi Ibrahim :  Bagaimana keadaan hidupmu sekeluarga? Mudah-mudahan dalam kesenangan?
Menantu :  Syukurlah kepada tuhan, kami semua  dalam  keadaan sejahtera, tiada apa yang kurang.
Nabi Ibrahim :  Baguslah kalau begitu.
Menantu :  Silalah  duduk  sebentar.  Boleh  saya  hidangkan sedikit  makanan.
Nabi Ibrahim :  Apa pula yang ingin kamu hidangkan?
Menantu :  Ada sedikit daging, tunggulah saya sediakan minuman dahulu.
Nabi Ibrahim :  (Berdoa) Ya Allah! Ya Tuhanku!  Berkatilah  mereka dalam makan minum mereka. (Berdasarkan peristiwa  ini, Rasulullah beranggapan keadaan mewah negeri Makkah adalah
berkat doa Nabi Ibrahim).
Nabi Ibrahim :  Baiklah, nanti apabila suamimu  pulang,  sampai- kan salamku kepadanya. Suruhlah dia menetapkan  tiang pintu rumahnya sebagai kiasan untuk  mengekalkan isteri Nabi Ismail).
Apabila  Nabi Ismail pulang daripada berburu, seperti  biasa dia bertanya sekiranya sesiapa datang datang mencarinya.
Nabi Ismail :  Ada sesiapa datang semasa aku tiada di rumah?
Isteri :  Ya,  ada.  Seorang  tua yang  baik rupanya dan perwatakannya sepertimu.
Nabi Ismail :  Apa katanya?
Isteri :  Dia bertanya tentang keadaan hidup kita.
Nabi Ismail :  Apa jawapanmu?
Isteri :  Aku nyatakan kepadanya hidup kita dalam keadaan baik, tiada apapun  yang kurang. Aku ajak juga dia makan  dan minum.
Nabi Ismail :  Adakah dia berpesan apa-apa?
Isteri :  Ada, dia berkirim salam buatmu dan  menyuruh kamu mengekalkan tiang pintu rumahmu.
Nabi Ismail :  Oh, begitu. Sebenarnya dialah ayahku. Tiang  pintu yang dimaksudkannya itu ialah dirimu yang dimintanya untuk aku kekalkan.
Isteri :  Alhamdulillah, syukur.

Bagaimana pandangan pembaca tentang petikan sejarah ini? Kisah sejarah ini sungguh menyentuh jiwa. Anda juga  tentu  merasai  dan  mengalami  sendiri  ujian   hidup berumahtangga  yang  sentiasa  perlukan  kesabaran.
Berpandukan sejarah  tersebut, bolehlah kita tegaskan kepada  diri sendiri bahawa isteri solehah itu sepatutnya ‘sabar di hati dan syukur pada wajah’. Daripada sini akan terpancar ketenangan setiap kali  suami  berhadapan dengan  isteri  solehah. Isteri solehah tidak cerewet  dan  tidak mudah merungut. Isteri solehah hendaklah sentiasa bersyukur dalam keadaan senang  mahupun  susah  supaya  Allah  tambahkan  lagi rahmat-Nya seperti firman-Nya yang bermaksud:
“Sesungguhnya  jika  kamu  bersyukur,  pasti  Aku tambahkan  nikmat-Ku kepadamu. Dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih.”  (Surah Ibrahim, ayat 7)
Untuk menambahkan kegigihan kita berusaha menjadi isteri solehah, ingatlah hadith Rasulullah yang bermaksud:
“Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada  kaum wanita, bahawasanya taat kepada suami serta mengakui  haknya adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi sangat sedikit sekali golongan kamu yang dapat melakukan demikian.”
(Riwayat Al-Bazzar dan Ath-Thabrani)
Begitulah,  untuk  menyediakan  diri  sebagai isteri solehah,  hati  kita  hendaklah sentiasa  dipenuhi  dengan  kasih sayang rabbani. Contoh teladan yang sepatutnya jadi rujukan kita ialah sejarah kehidupan nabi serta orang soleh.

Leer completo...

Teman seperjuangan..